Assalamualaikum w.b.t.sebelum bermula, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dan junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W :)
**********
Semua insan dalam
dunia ini pasti pernah merasai perasaan itu. Perasaan yang tidak asing lagi
dalam jiwa kita sebagai manusia. Perasaan yang kadangkala hadirnya tanpa kita
duga atau kita paksa. Memang sudah menjadi fitrah kita sebagai manusia untuk
merasai perasaan itu. Cuma mungkin bagaimana perasaan itu hadir dalam diri kita
berbeza bagi setiap individu.
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang
diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas,
perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah
kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik
(syurga).”
[Ali 'Imran, 3:14]
‘Dalam diam, perasaan itu
hadir di hatiku’
Seperti insan lain, aku jua merasai perasaan itu. Perasaan yang bukan baru
semalam berputik, tetapi telah hampir 5 tahun aku pendam. Aku sering
tertanya-tanya salahkah untuk aku mempunyai perasaan yang bukan aku reka atau
cipta, perasaan yang hadirnya tak pernah aku paksa, perasaan yang tak berubah
sedikit pun walau banyak dugaan menimpa. Namun dalam aku melangkah menyusuri
perasaan itu, aku sering dilanda rasa khuatir. Aku khuatir andainya rasa cinta
ini melebihi rasa cintaku pada-Nya. Aku khuatir andai rindu yang aku pendam
melebihi rinduku pada-Nya. Diri ku dan dia diikat dengan satu ikatan di dalam
hati. Ikatan yang tak perlu aku dan dia lafaz melalui bicara kata. Cukuplah
rasa ini aku pendam dan dia juga memendam rasa yang sama. Jasad aku dan dia
beribu batu terpisah. Hati aku dan dia juga beribu batu menjauh. Kini, wajahnya
pun mungkin telah menjadi samar-samar di ingatanku. Suaranya seperti ku
ingat-ingat lupa di telingaku. Rinduku padanya yang tidak menentu telah menjadi
rindu yang ada hala tuju.
‘Saat aku dan dia menjauh’
Pernah satu ketika dulu, aku kecewa dengan keadaan ini. Aku rasa seperti
tidak sempurna dengan ketidakhadiran dia disisi. Namun kini, aku mengerti
mengapa dia makin menjauh dari aku. Aku hormat keputusannya kerana aku tahu
semua ini dia lakukan demi kebaikan aku dan dia.Teringat aku bicaranya tentang
kisah kami. Kami dipertemukan dalam keadaan yang aneh sekali. Dalam keadaan
saling tidak mengenali, perasaan yang tidak disangka-sangka hadir dalam diri
kami. Sehingga kini, aku masih tidak mengerti bagaimana perasaan itu hadir dan
bercambah sehingga ke saat ini. Oleh itu, aku mengerti mungkin pertemuan yang
aneh ini harus jua dilalui dengan jalan yang aneh. Biarlah ‘JARAK’ ini menjadi
penjaga bagi aku dan dia. Biarlah ingatanku tentang dia yang makin samar-samar
di dalam hatiku menjadi penguat hubungan aku dengan ya-Rabb. Aku yakin dengan
rencana yang telah tertulis untukku. Aku yakin jika tertulis jodoh antara kami,
sejauh mana aku dan dia berlari menjauh, kami akan dipertemukan jua di garisan
takdir antara kami nanti.
‘Jarak ini menjaga aku dan
dia’
Kini aku semakin mengerti, ‘JARAK’ ini bukan untuk menghukumku. Tetapi
‘JARAK’ ini untuk menjaga aku dan dia. Dengan ‘JARAK’ ini aku dan dia berjanji
untuk berubah menjadi yang lebih baik. Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji
untuk memperbaiki cinta kepada Illahi.Dengan jarak ini aku dan dia berjanji
untuk mencintai Pencipta kami lebih dari segalanya. Dengan JARAK ini aku dan
dia berjanji untuk mendalami Islam hingga ke akar umbi. Dan Dengan JARAK ini
jua aku dan dia yakin andai tiba saatnya nanti, aku dan dia akan lebih bersedia
untuk melayari semua ini dengan jalan yang diredhai.
Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang kepadaku melalui jalan-Mu ini.
Terima kasih kerana memberikan JARAK itu kepada aku dan dia.
"Ketahuilah hanya
dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang"
(Ar-Ra’d 13:28 )
Aku sedar, aku insan yang masih rapuh. Kadangkala hatiku goyah melihat keadaan
sekeliling yang menekanku. Jika tidak kerana JARAK ini,mungkin aku akan mencari
pelbagai alasan untuk bersama dia. Iman ku akan goyah saat terpandang wajahnya.
Hatiku akan bertambah rindu saat mendengar suaranya. Moga hidayah yang diberi ini akan terus membajai hatiku. Aku yakin semua ini
rencana Mu Ya Allah. Moga di akhir JARAK ini, Kau memberi kesudahan yang baik untuk aku dan dia :)
Sekalipun CINTA telah
kuuraikan dan kujelaskan panjang lebar.
Namun jika CINTA kudatangi,
aku jadi malu pada keteranganku sendiri.
Meskipun lidahku
telah mampu menguraikan dengan terang.
Namun tanpa lidah,
CINTA ternyata lebih
terang
Sementara pena
begitu tergesa gesa menuliskannya
Kata kata pecah
berkeping keping begitu sampai kepada CINTA
Dalam menguraikan CINTA,
akal terbaring tak berdaya
Bagaikan keldai
terbaring dalam Lumpur
CINTA sendirilah
yang menerangkan CINTA dan perCINTAan
recite by Anna Althafunnisa ‘Ketika Cinta
Bertasbih 2’
p/s : 'aku' bukan nama sebenar




