Assalamualaikum w.b.t.sebelum bermula, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dan junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W :)
***********
“Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku,
dan Aku bersama-nya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya,
Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku
menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat
kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat
kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang
kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari”.
(HR. Al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi,
Ibn Hanbal)
“Aku insan biasa”
Sebenarnya aku tak pernah memikirkan dan menjangkakan aku akan merasai
semua ini. Sering aku tertanya-tanya kenapa aku yang dipilih untuk merasai ini.
Untuk yang menjadi yang ini. Apakah istimewanya aku sehingga menjadi pilihan
untuk dibawa ke jalan ini. Bila melihat diri ini, aku melihat diriku
sedalam-dalamnya. Layakkah aku. Aku insan biasa yang sangat biasa. Aku tidak
sempurna. Sangat tidak sempurna. Ya Allah kenapa Engkau begitu menyayangi aku,
sedangkan aku disepanjang kehidupan ini tidak berbuat apa-apa pun demi
agama-Mu. Kenapa Engkau memilih untuk menyelamatkan aku. Sedangkan aku sebelum ini
tidak berusaha untuk mendalami agama-Mu.
“Dan bersegeralah kamu
mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit
dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (3:133)
Dalam sujud aku menangis tanda kesyukuran dan rasa malu kepada Penciptaku. Dalam
sujud aku memohon kemaafan pada-Nya yang Satu. Terdetik di hati ini, walau
bagaimanapun kekurangan yang ku rasai, aku masih seorang manusia ciptaan-Nya
yang Maha Agung. Begitu tidak patut aku untuk menghina diri sendiri yang
merupakan salah satu ciptaan dari-Nya yang maha Esa. Dari rasa itu aku bangkit,
bangkit sebagai seorang aku yang baru.
“pertolongan-Nya tidak pernah terhenti”
Aku merasa seperti seorang yang baru dilahirkan. Aku seperti bermula dari
kosong. Aku rasa jauh ketinggalan dan kadang kala rasa malu. Betapa ceteknya
ilmu di dadaku, betapa aku tidak mengenali-Nya dan mendalami ilmu-Nya. Aku
seakan-akan ingin berlari dan menyorok daripada orang yang sudah berada jauh di
hadapanku. Namun, pertolongan dari Allah tak pernah terhenti. Allah
mengurniakan hamba-Nya yang tak jemu-jemu membantuku yang serba tidak tahu ini.
Allah memberi kekuatan kepada orang yang terdekat denganku untuk tidak pernah
lelah meminjamkan semangatnya kepadaku. Dari situ aku mula merangkak, kemudian
cuba untuk berdiri. Walaupun kadangkala aku jatuh jua beberapa kali, tapi kali
ini aku lebih berusaha untuk cepat bangkit. Jujur, semua ini tidak mudah
untukku. Memerlukan pengorbanan demi pengorbanan yang kadangkala mencarik-carik
hati dan perasaanku.
“Dan janganlah kamu (merasa)
lemah dan jangan (pula) bersedih hati, kerana kamu paling tinggi (darjatnya)
jika kamu orang yang beriman.”(3:139)
“di jalan ini”
Namun, disebalik rasa pedih ini tidak dapat aku nafi. Aku seakan-akan
merasai perasaan jatuh cinta kali pertama. Jatuh cinta dengan Penciptaku. Jatuh
cinta untuk berjuang demi agama tercintaku. Jatuh cinta untuk terus kuat.
Walaupun jalan ini tidak mudah, tetapi dari jalan ini aku membina kekuatan.
Dari jalan ini aku memperoleh kematangan. Kini, aku sudah mampu untuk berdiri
dan mula untuk melangkah. Aku berharap selepas ini aku bukan sahaja mampu
berdiri tapi mampu berlari di jalan ini. Selepas ini, aku akan melangkah ke sesuatu
yang lebih besar dalam kehidupanku. Suatu perjuangan yang memerlukan
pengorbanan. Aku harus bersedia. Ya, sangat bersedia. Terima kasih kepada yang
tidak lelah meminjamkan semangatnya kepadaku. Semoga apa yang bakal aku lalui
di hari-hari mendatang dapat membawa manfaat kepada diriku dan isi dunia ini.
Semuanya ku lakukan demi Dia Rabb ku yang tercinta. Paling utama, pengharapanku ialah agar aku, dia dan semua menembus hingga ke syurga sana. inshaAllah :)
:)





